Oleh : Nurdiyanah Rajami / Foto : Nurdiyanah Rajami, Ihsan Kementerian Pendidikan
MANGGIS, Selasa, 26 Mei. - Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Khas hari ini mengadakan Majlis Penyampaian Sijil Program Pra-Vokasional bagi Sesi 2021-2025 bertempat di Damai Ballroom, Aman Hills Hotel.
Program Pra-Vokasional merupakan laluan pendidikan menengah selama lima tahun yang dirangka khusus bagi memenuhi keperluan pelajar berkeperluan pendidikan khas di beberapa buah sekolah menengah kerajaan.
Sehubungan itu, hadir selaku tetamu kehormat ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin.
Atur cara dimulakan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Khas, Dr. Hajah Mustazah binti Awang Maidin, selaku Pengerusi Majlis.
Acara kemudiannya diteruskan dengan penyampaian sijil oleh tetamu kehormat kepada 127 orang pelajar yang telah berjaya menamatkan Program Pra-Vokasional bagi Sesi 2021-2025 serta lima orang guru Pendidikan Khas (guru SEN) yang telah bersara daripada perkhidmatan.
Sijil penghargaan dan cenderamata turut disampaikan kepada enam buah syarikat atas sokongan dan kerjasama dalam menyediakan penempatan kerja bagi pelajar-pelajar Program Pra-Vokasional.
Program Pra-Vokasional berkenaan antara lain bertujuan untuk menyediakan pembelajaran yang bersesuaian bagi pelajar berkeperluan khas agar mereka dapat menguasai kemahiran hidup berdikari seperti kemahiran akademik fungsional, kemahiran sosial dan komunikasi, kemahiran pengurusan diri, kemahiran asas vokasional serta kemahiran kerja berpandukan Rancangan Pendidikan Individu (IEP) masing-masing mengikut tahap dan kebolehan individu.
Usaha ini juga selaras dengan Wawasan Brunei 2035 dalam melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, di samping menyokong visi dan misi Kementerian Pendidikan dalam menyediakan pendidikan yang berkualiti dan holistik.
Selain acara penyampaian sijil, pameran hasil kerja pelajar Program Pra-Vokasional turut diadakan dengan menampilkan pelbagai hasil kerja termasuk kraf tangan, produk makanan dan minuman, serta hasil tanaman daripada pelajar Program Pra-Vokasional dari 18 buah sekolah menengah kerajaan bagi menyerikan lagi suasana majlis.
Turut hadir ialah pengarah-pengarah, penolong-penolong pengarah, pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan, agensi-agensi kerajaan yang terlibat, pemimpin-pemimpin sekolah, guru-guru Homeroom (HRT), wakil-wakil dari sektor korporat, pegawai-pegawai dari Jabatan Pendidikan Khas serta para ibu bapa dan penjaga.